JULAI 2022

Abg Jo Rasmi 2 Majlis Peringkat Negeri Di Daerah Gedong


GEDONG, 16.7.22 - Premier Sarawak merangkap ADUN N26 Gedong, YAB Datuk Patinggi Abang Johari bin Tun Abg Openg merakamkan terima kasih diatas penganjuran program peringkat Negeri Sarawak iaitu, Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan dan Jualan Terus dari Ladang Keluarga Malaysia di Daerah Gedong. 

Program serentak tersebut bermula dari 16 hingga 18 Julai 2022 bertempat di Dewan Datuk Patinggi Ali yang dianjur bersama Agensi Antidadah Kebangsaan ( AADK ) dan Lembaga Pemasaraan Pertanian Persekutuan ( FAMA ) dengan aktiviti-aktiviti yang melibatkan masyarakat Daerah Gedong dan sekitarnya.

Dalam ucapan amanat, beliau menekankan betapa pentingnya penglibatan bersama kerajaan dan rakyat bagi membasmikan penyalah gunaan dadah yang akan melemahkan  produktiviti rakyat dan negara.

"Kerajaan Sarawak telah membantu kerajaan Pusat melalui Jawatankuasa Keselamatan Negeri bagi menjayakan program Antidadah dengan membeli anjing dan juga kelengkapan IOT di lapangan terbang di Sarawak," katanya

Katanya lagi, "Untuk menjayakan sektor "Food Security" sebagai permulaan, Kerajaan Sarawak akan membawa ke kabinet bagi mewujudkan agensi Kerajaan yang akan fokus kepada Pemodenan Industri Pertanian".

Tambah nya, "Kerajaan Sarawak akan mewujudkan 'Agropark' di Gedong dan Simunjan dan beliau telah memohon pihak Swimburne dan Unimas untuk membuka mini kampus bagi tujuan penyelidikan dan latihan serta pemasaran yang lengkap dengan kemudahan IOT untuk para petani modern kelak."

Beliau juga akan memberi lebih bajet kepada Pertanian Moden khususnya di luar bandar. 

"Terima kasih kepada Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia diatas bantuan e-wallet sebanyak RM30 seorang kepada 200 orang peniaga dan 200 org pengguna pada program mereka hari ini,"katanya. 

"Terbaru, Jalan dua hala yang akan dilalui ART dari Serian ke Gedong dan ke Rembus akan dibina dalam masa tiga tahun". tegasnya

Diakhir Majlis, YAB Abg Jo juga telah menyampaikan Sijil Skuad Jawatankuasa Antidadah Negeri Sarawak dan Daerah Gedong, Sijil Keusahawanan Agro Bazaar Online dan  mock cek e-wallet. 

Terlebih dahulu, semasa ketibaan, YAB Abg Jo melawat tapak pameran oleh AADK dan agensi-agensi kerajaan Persekutuan dan di akhir majlis, beliau melawat tapak Jualan Terus dari Ladang dan bermesra dengan peniaga serta pengunjung.

Turut hadir sama, YB Datuk Sri Haji Abdul Karim Rahman bin Hamzah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif, Seni dan Pembangunan Keusahawanan Sarawak merangkap Pengerusi PEMADAM Sarawak, YB Datuk Sri Alexander Nanta Linggi , Menteri Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia, YB Martin Ben, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Badrul Hisham bin Mohd, Timbalan Ketua Setiausaha ( Pembangunan ) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Malaysia, Sutekno bin Mohd Belon, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan , Datuk Mohamad Mustapha bin Awang, Timbalan Pengarah Lembaga Pemasaraan Pertanian Persekutuan ( FAMA ), Dato Sri Haji Abu Bakar bin Marzuki, Pemangku Setiausaha Kerajaan Sarawak, Haji Ibrahim bin Lumpu, Residen Bahagian Samarahan dan kenamaan lain.

Sumber dari : Sarawakku